pErMaTA

SOMETIMES ALLAH ALLOWS ILLNES SO WE CAN TAKE BETTER CARE OF OURSELVES. SOMETIMES ALLAH TAKES EVERYTHING AWAY FROM US SO WE CAN LEARN THE VALUE OF EVERYTHING HE GAVE US . MAKE UNDERSTAND THAT WE LIVE BY ALLAH'S GRACE=)

Friday 28 October 2011

Remaja, Ingatlah masa depanmu, Kenanglah, Jasa ibu dan ayahmu, Susah payah mereka membesarkan kita. Lirik lagu di atas cukup jelas memanifestasikan satu mesej kepada para remaja supaya sentiasa menghargai ibu dan bapa mereka. Umum mengetahui, para remaja marcapada ini terlalu lalai dan leka dibuai arus modenisasi. Penglibatan mereka dalam delinkuen social sudah menjadi buah mulut dan mauduk utama perbualan orang mutakhir ini. Justeru, ibu bapa dilihat sebagai satu komponen paling utama malah turut dianggap formula yang cukup mujarab bagi mengatasi masalah dalam kalangan remaja. Pertama, ibu bapa perlu menghulurkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana remaja merupakan golongan yang sangat menginginkan perhatian. Naluri mereka yang mudah memberontak sudah pasti dapat ditenangkan menerusi perasaan cinta ibu bapa terhadap anak-anak. Api kemarahan dan banteng keegoan yang menebal di dada mereka pasti mudah diruntuhkan dengan kasih sayang ibarat menatang minyak yang penuh kepada anak-anak. Andai kata remaja ketandusan kasih sayang, sudah pasti mereka akan mecari haluan lain untuk melepaskan diri dari kepompong ketidakselesaan. Natijahnya, mereka akan mula berjinak-jinak dengan najis dadah dan tidak mustahil akan terjerumus dalam kancah kemaksiatan. Berdasarkan statistic yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kadar remaja lari dari rumah kian meningkat sebanyak 5.7 peratus dari tahun 2007 ke 2008. Justeru, sebelum nasi sudah menjadi bubur, ibu bapa perlu mengutamakan anak-anak mereka berbanding hal-hal lain. Selain itu, ibu bapa juga perlu meluangkan masa bersama anak-anak. Hal ini cukup bertepatan dengan langkah Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat yang telah mengisytiharkan cuti pada hari Sabtu dan Ahad kepada semua pegawai kerajaan. Perkara ini cukup membuktikan keprihatinan kerajaan Malaysia dalam menyediakan ruang dan peluang kepada ibu bapa untuk bersama anak-anak. Percayalah, anak-anak akan berasa lebih dihargai apabila ibu bapa menghabiskan masa berkualiti bersama mereka. Tamsilannya, ibu bapa boleh membawa anak-anak melancong, beriadah bersama-sama malahan menjalankan aktiviti kerohanian secara berjemaah. Melihat kepada scenario masyarakat kontemporari, ibu bapa lebih cenderung untuk mengejar materialistic dan menjadikan pejabat sebagai rumah kedua mereka. Sikap “ibarat enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing” ini perlu dikikis segera bagi memastikan para remaja tidak terlibat dalam gejala social. Maka, jelaslah anak-anak remaja perlu dijadikan priority utama dalam usaha membendung kemelut ini. Di samping itu, ibu bapa perlu menyediakan pendidikan yang secukupnya kepada anak-anak. Pendidikan ini merangkumi pendidikan formal mahupun pendidikan tidak formal. Tindakan kerajaan Malaysia mewajibkan keseluruhan kanak-kanak di negara ini mendapat pendidikan di sekolah amatlah wajar dan perlu disokong. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mereka memperoleh pendidikan sewajarnya, selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sementelahan itu, ibu bapa juga perlu menerapkan pendidikan berbentuk tidak formal kepada anak-anak. Pengajaran ilmu-ilmu agama dan nilai-nilai murni selaras dengan norma masyarakat pada hari ini amat penting bagi memastikan kerohanian yang mantap dalam diri anak-anak. Ingatlah, “segala-galanya bermula di rumah”. Begitulah ungkapan kalimah tokoh filsuf terkenal, Franklin D. Roosevelt. Maka, ibu bapalah yang bertindak sebagai agen pencorak utama karakter anak-anak agar mereka tidak mencetuskan cangkaliwang pada hari muka. Justeru, penerapan pendidikan yang sempurna pasti dapat menangani masalah ini. Seterusnya, ibu bapa perlu mengawasi perilaku anak-anak. Peribahasa Melayu ada menyebut,” kalau tiada angin masakan pokok akan bergoyang”. Setiap perbuatan yang dilakukan oleh anak-anak pasti ada penyebabnya. Sehubungan dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk sentiasa mengikuti perkembangan diri anak-anak remaja mereka. Pergaulan bebas anatara lelaki dan perempuan sudah sinonim dengan masyarakat. Seluar ketat, baju singkat hingga menampakkan pusat ibarat suatu adat. Maka, di sinilah ibu bapa perlu memainkan peranannya iaitu meninjau perubahan sikap anak-anak mereka. Serbuan pihak polis di kota metropolitan Kuala Lumpur iaitu di kelab-kelab malam di sana mendapati hampir 15 peratus anak-anak remaja di bawah umur ditahan positif dadah. Perkara ini jelas menunjukkan andai ibu bapa membiarkan anak-anak mereka tanpa tempat bergantung, mereka akan mudah terlibat dalam kebejatan sosial pada masa ini. Maka, ibu bapa perlu bertindak proaktif dan pragmatic dalam usaha membasmi gejala sosial dalam kalangan anak-anak remaja. Akhir sekali, ibu bapa perlu melengkapkan keperluan asas anak-anak. Sekali air bah, sekali pantai berubah. Begitu juga dengan perkembangan dunia yang kian ekstrem menjengah kita. Justeru, dalam kita mengharung arus pascamodenisme, sudah tentu anak remaja tidak mahu dihimpit dengan ketidakselesaan dan pemikiran yang jumud. Maka, sebagai ibu bapa, mereka perlu menyediakan keperluan asas anak-anak bagi menjamin keselesaan. Tempat tinggal yang kondusif, pakaian yang bersesuaian serta makanan dan minuman yang berkhasiat perlu disediakan. Hal ini amat penting bagi memastikan anak-anak berasa seronok berada di rumah lantas tidak terlibat dalam gejala sosial. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sekumpulan mahasiswa Fakulti Sains Kemasyarakatan, Universiti Malaya, anak-anak remaja daripada golongan miskin lebih cenderung untuk terlibat dalam penagihan najis dadah. Hal ini pastinya akan dapat dibendung andai segala keperluan asas remaja dilengkapkan walaupun ibu bapa tidak melambakkan kemewahan kepada mereka. Intihanya, ibu bapa perlu memantapkan kemahiran keibubapaan mereka lagi dalam mendidik anak-anak. Contohilah ketokohan Luqmanul Hakim yang cukup hebat mendidik anak-anaknya berorientasikan Al-quran dan al-Hadis. Kita tidak mahu remaja-remaja yang bobrok dan kaya dengan pidana dihasilkan. Sebaliknya, kita inginkan barisan remaja yang berkaliber, cukup syumul dan utopia hasil didikan kedua-dua ibu bapa mereka. Marilah kita berubah, “sebelum padi di tangan menjadi lalang” dan “ayam ditambat disambar helang”, ayuhlah ibu bapa, berkorbanlah demi masa depan anak-anak tercinta. Berkorban apa sahaja, Harta ataupun nyawa, Itulah kasih mesra, Sejati dan mulia. Ingatlah, ibu bapa cemerlang, anak-anak gemilang!

Tuesday 25 October 2011

peranan keluarga

Pada alaf globalisasi dan modenisasi ini, gejala sosial sentiasa menghiasi lembaran akhbar.  Gejala sosial yang semakin meruncing telah menggusarkan masyarakat. Fenomena  ini diibaratkan duri dalam daging dalam sosial kita. Kenapa pembangunan mentaliti rakyat kita tidak selaras dengan pembangunan fizikal kita sehingga penyakit sosial sentiasa menjadi-jadi bagai cendawan tumbuh selepas hujan?  Tampaknya, masalah gengsterisme,  vandalisme, samseng jalanan,  pembuangan bayi,  remaja lari dari rumah sering berkait rapat dengan kebejatan institusi keluarga. Walhal, peranan keluarga amat signifikan untuk  mengekang sindrom sosial terutamanya masalah remaja.
Salah satu peranan institusi keluarga adalah ibu bapa perlu memberikan didikan agama dan moral kepada anak mereka sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.  Didikan agama dan moral bagaikan perisai yang berupaya menghalang segala godaan maksiat . Senario ini dapat membantu anak-anak mengelakkan diri daripada terlibat dengan gejala sosial.  Sebagai contoh, bapa boleh mengajar anak-anak mereka sendiri atau menghantar mereka ke sekolah agama.  Ketua keluarga perlu membimbing anggota keluarga untuk menjalankan solat sembahyang dan mengaji kitab-kitab.  Sehubungan dengan itu, anak-anak dapat membezakan antara kaca dengan permata kerana mempunyai jati diri yang kukuh sebagai pedoman hidupnya.
Selain itu, ibu bapa juga bertanggungjawab  untuk mengawasi pergerakan anak-anak. Ibu bapa perlulah mengawasi tingkah laku anak mereka sama ada di sekolah mahu pun di luar kawasan sekolah. Hal ini  terjadi demikian kerana  banyak pengaruh luaran seperti pengaruh rakan sebaya akan menghasut jiwa remaja yang bertelinga nipis dan pantang dicabar.  Jika rakan sebaya mereka tidak berperibadi mulia,  remaja yang setahun jagung dan darah setampuk pinang pasti akan mengikut jejak langkah rakan mereka, seperti melepak, berlumba haram dan sebagainya.  Lantarannya, pergaulan anak tidak boleh dipandang enteng oleh ibu bapa. Dengan kata lain , ibu bapa perlu mewujudkan keluarga yang bahagia demi membentuk personaliti anak-anak  yang mulia sehingga berjaya.
Tidak dapat disangkal lagi bahawa ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih tua perlu menjadi contoh dan  teladan yang baik kepada anak-anak. Suri teladan ibu bapa  mampu membentuk sahsiah  anak-anak. Tambahan pula, sikap anak-anak yang suka meniru apa-apa sahaja yang dilihatnya. Bak kata peribahasa, “bagaimana acuan begitulah kuihnya”.  Ibu bapa perlu menjauhi kegiatan yang negatif seperti merokok, minum alkohol, mengakses laman web lucah dan lain-lain lagi.   Bapa borek anak rintik merupakan peribahasa yang perlu dihayati oleh ibu bapa. Sikap ibu bapa yang ego, individualistik, materialistik, dan bongkak  akan mencanai generasi  muda yang berakhlak biadab dan berbudaya sumbang.
Dalam pada itu, kasih sayang yang sempurna  dan kamil amat diperlukan oleh anak-anak. Ekoran daripada itu , ibu bapa wajar memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak. Kejadian  ini berlaku  kerana anak-anak yang kurang mendapat kasih sayang akan mudah terpengaruh oleh  gejala sosial. Ibu bapa perlu sentiasa melayani anak mereka bagai  menatang minyak yang penuh. Sebagai contoh, ibu bapa sewajarnya membelai dan mengucapkan kata-kata sayang kepada anak-anak mereka. Sementelahan, ibu bapa perlu memberikan pujian yang ikhlas ketika anak mereka mencapai sesuatu kejayaan atau melakukan perkara yang betul. Dengan itu, anak-anak akan berasa gembira dan seronok berada di rumah bersama-sama keluarga mereka. Mereka pun sanggup meluahkan isi hati ketika mengalami kemusykilan kerana ibu bapa mereka bersedia mendengar rintihan jiwa mereka. Ternyata keluarga yang harmoni  berdominan untuk  membanteras kegiatan negatif.
Di samping itu , setiap ahli keluarga juga perlu sentiasa berkongsi masalah. Ibu bapa harus  sentiasa bertanyakan masalah anak-anak.  Seterusnya, ibu bapa perlu membantu anak-anak menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sebagai contoh, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk membantu masalah pelajaran anak-anak. Sebaliknya anak-anak perlu memahami tanggungjawab dan bebanan ibu bapa mereka. Anak-anak perlu sentiasa membantu ibu bapa membuat kerja rumah tangga untuk meringankan tekanan mereka. Dengan itu,  setiap anggota keluarga akan berasa diri mereka diberikan perhatian oleh ahli keluarga yang lain. Aktiviti keluarga seperti gotong-royong dan hari keluarga patut diadakan dari semasa ke semasa supaya mengeratkan silaturahim sekeluarga.
Secara tuntasnya, segala langkah di atas tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada semua ahli keluarga seperti ibu bapa, abang dan kakak. Slogan “Keluargaku, syurgaku”, dan “Semakin hari semakin sayang” patut dihayati oleh seisi komuniti kita supaya melahirkan masyarakat madani dan sakinat.